Sukar membuang air besar dan najis berdarah mungkin petanda kanser usus.
PERNAHKAH anda meneran hingga merah muka atau mengetap gigi manakala kaki bersilang sambil mengepit punggung ketika membuang air besar? Jika anda perlu berdepan dengan kesukaran setiap kali berada di tandas, ini bermakna anda mengalami sembelit kronik.
Disifatkan sebagai gejala dan bukan sejenis penyakit yang merbahaya, setiap individu pernah mengalami masalah ini. Sungguhpun begitu, masih ramai yang menganggap sembelit sebagai isu remeh dan berpendapat ia boleh diselesaikan dengan banyak meminum air.
Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Madya Dr. Ismail Sagap, sembelit ialah situasi apabila individu membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu dan keadaan itu berlarutan sehingga beberapa bulan.
“Seseorang itu juga boleh memiliki gejala sembelit jika lebih 40 peratus najis yang dikeluarkan adalah keras. Lazimnya, individu normal akan mengeluarkan 75 peratus najis lembut dan proses pembuangan lebih lancar tanpa perlu meneran dengan kuat.
“Penghidap sembelit kronik biasanya tidak membuang air besar untuk beberapa hari. Malah terdapat juga kes membabitkan pesakit yang tidak membuang air besar dengan sempurna sehingga berbulan-bulan.
“Perut pesakit akan mengembung, kejang dan sakit serta kurang selera makan. Bagi kanak-kanak, sedikit cairan atau calitan najis lembut pada seluar dalam adalah petanda bahawa anak itu mendapat sembelit.
“Sungguhpun begitu, kebanyakan masalah sembelit membabitkan golongan usia pertengahan dan banyak terjadi kepada wanita muda,” ujarnya.
Jelas Ismail, wanita muda sering memilih untuk menahan air besar daripada membuangnya terutama jika berada di kawasan awam seperti kompleks beli-belah yang mempunyai tandas kotor.
“Ramai wanita muda berasa geli untuk membuang air besar di tandas awam. Mereka lebih rela menyimpan najis dan membuangnya apabila sampai di rumah daripada terpaksa mencangkung atau duduk di dalam tandas yang kotor dan berbau.
“Tetapi keadaan yang biasa berlaku adalah sebaliknya. Apabila sampai di rumah, perasaan untuk membuang air besar sudah hilang dan tiada sebarang najis dilepaskan walaupun menunggu lama di dalam tandas,” ujarnya,
Tabiat melengah-lengahkan proses pembuangan air besar juga dipercayai menyebabkan perut gembung malah boleh mengakibatkan usus menjadi malas.
Keadaan tersebut menyebabkan pergerakan najis di dalam usus menjadi lambat atau tidak bergerak sekali gus menyebabkan usus tersumbat.
“Apabila najis sudah sampai di rektum, ia akan memberi signal kepada otak untuk memberitahu bahawa sudah sampai masa untuk ke tandas. Tetapi apabila kerap berlengah ke tandas, usus menjadi kurang sensitif dan otak tidak lagi boleh mencerna isyarat itu. Akhirnya individu tersebut lebih selesa untuk tidak ke tandas.
“Keadaan ini lama-kelamaan boleh mendatangkan masalah seperti perut kembung, muntah dan rasa sangat tidak selesa,” katanya.
- SUMBER : www.kosmo.com.my -
No comments:
Post a Comment