Friday, 28 October 2011

~~ KENCING MANIS ~~

PENYAKIT KENCING MANIS  juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Penyakit ini ialah suatu keadaan yang mana terdapatnya ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin, atau badan bersifat rintang terhadap insulin. Insulin ialah suatu hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin berfungsi untuk meningkatkan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein. Ia bertanggungjawab untuk proses glikogenesis, iaitu penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati dan otot. Insulin juga menyebabkan lipogenesis, iaitu pembentukan trigliserida dan lemak. Ia juga menghalang pemecahan lemak dan meningkatkan penghasilan glukosa dalam hati.





~~ SIMPTOM / GEJALA ~~


v Kerap membuang air kencing
v Sentiasa berasa dahaga
v Selera makan meningkat
v Letih
v Hilang berat badan
v Jangkitan kulit yang kerap, misalnya jangkitan kulat pada kawasan kemaluan
v Luka yang lambat sembuh
v Kadang-kadang penglihatan menjadi kabur



- Kebanyakan orang mempunyai satu atau lebih simptom tetapi ada orang yang tidak mempunyai sebarang simptom -


~~ RAWATAN ~~

Penyakit kencing manis biasanya ia merupakan suatu penyakit seumur hidup. Tujuan rawatan untuk penyakit kencing manis ialah untuk melegakan simptom dan mengembalikan paras gula darah kepada paras normal dan untuk mencegah komplikasi. Penyakit kencing manis yang dibiarkan tanpa kawalan akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, mata, kaki dan kulit. Cara mengawal penyakit kencing manis termasuklah pemakanan, penjagaan berat badan, senaman dan ubat. 





SUMBER:www.efarmasi.com.my

~~ OBESITI ~~

OBESITI merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti kini dianggap sebagai satu penyakit dan terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius..


~~ RISIKO KESIHATAN ~~


- Penyakit kardioviskular (berkaitan dengan jantung)
- Strok (angin ahmar)
- Tekanan darah tinggi
- Batu hempedu
- Diabetes (kencing manis)
- Paras kolestrol darah yang tinggi
- Gout
- Sakit di bahagian bawah belakang badan
- Sukar bernafas
- Osteoartritis spina (tulang belakang), pinggang atau lutut
- Gangguan pembuangan air kecil
- Penyakit hati
- Barah usus



Wednesday, 19 October 2011

~~ SEMBELIT ~~

Sukar membuang air besar dan najis berdarah mungkin petanda kanser usus.

KEHADIRAN tisu tambahan dalam usus boleh menyebabkan sembelit dan kehadiran darah dalam najis.


PERNAHKAH anda meneran hingga merah muka atau mengetap gigi manakala kaki bersilang sambil mengepit punggung ketika membuang air besar? Jika anda perlu berdepan dengan kesukaran setiap kali berada di tandas, ini bermakna anda mengalami sembelit kronik.
Disifatkan sebagai gejala dan bukan sejenis penyakit yang merbahaya, setiap individu pernah mengalami masalah ini. Sungguhpun begitu, masih ramai yang menganggap sembelit sebagai isu remeh dan berpendapat ia boleh diselesaikan dengan banyak meminum air.
Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Madya Dr. Ismail Sagap, sembelit ialah situasi apabila individu membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu dan keadaan itu berlarutan sehingga beberapa bulan.
“Seseorang itu juga boleh memiliki gejala sembelit jika lebih 40 peratus najis yang dikeluarkan adalah keras. Lazimnya, individu normal akan mengeluarkan 75 peratus najis lembut dan proses pembuangan lebih lancar tanpa perlu meneran dengan kuat.
“Penghidap sembelit kronik biasanya tidak membuang air besar untuk beberapa hari. Malah terdapat juga kes membabitkan pesakit yang tidak membuang air besar dengan sempurna sehingga berbulan-bulan.
“Perut pesakit akan mengembung, kejang dan sakit serta kurang selera makan. Bagi kanak-kanak, sedikit cairan atau calitan najis lembut pada seluar dalam adalah petanda bahawa anak itu mendapat sembelit.
“Sungguhpun begitu, kebanyakan masalah sembelit membabitkan golongan usia pertengahan dan banyak terjadi kepada wanita muda,” ujarnya.
Jelas Ismail, wanita muda sering memilih untuk menahan air besar daripada membuangnya terutama jika berada di kawasan awam seperti kompleks beli-belah yang mempunyai tandas kotor.
“Ramai wanita muda berasa geli untuk membuang air besar di tandas awam. Mereka lebih rela menyimpan najis dan membuangnya apabila sampai di rumah daripada terpaksa mencangkung atau duduk di dalam tandas yang kotor dan berbau.
“Tetapi keadaan yang biasa berlaku adalah sebaliknya. Apabila sampai di rumah, perasaan untuk membuang air besar sudah hilang dan tiada sebarang najis dilepaskan walaupun menunggu lama di dalam tandas,” ujarnya,
Tabiat melengah-lengahkan proses pembuangan air besar juga dipercayai menyebabkan perut gembung malah boleh mengakibatkan usus menjadi malas.
Keadaan tersebut menyebabkan pergerakan najis di dalam usus menjadi lambat atau tidak bergerak sekali gus menyebabkan usus tersumbat.
“Apabila najis sudah sampai di rektum, ia akan memberi signal kepada otak untuk memberitahu bahawa sudah sampai masa untuk ke tandas. Tetapi apabila kerap berlengah ke tandas, usus menjadi kurang sensitif dan otak tidak lagi boleh mencerna isyarat itu. Akhirnya individu tersebut lebih selesa untuk tidak ke tandas.
“Keadaan ini lama-kelamaan boleh mendatangkan masalah seperti perut kembung, muntah dan rasa sangat tidak selesa,” katanya.


SIMPTOM kanser usus sering dianggap gejala buasir kerana wujud persamaan iaitu sukar buang air besar.



  - SUMBER : www.kosmo.com.my -

~~ BAHAYA SENGGUGUT ~~


SENGGUGUT
 bukan sekadar kekejangan teruk ketika haid, tetapi ia turut menjadi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis.


Endometriosis adalah penyakit yang berlaku apabila tisu endometrium, iaitu tisu pengalas dinding rahim (yang sepatutnya tanggal ketika haid) ‘tumbuh’ di luar rahim — sama ada di ovari, tiub Fallopian, ligamen yang menopang rahim atau di mana saja dalam rongga pelvik.

Tisu endometrium juga boleh berkumpul di hampir semua lokasi dalam badan, antaranya pundi kencing, usus, faraj, apendiks, rektum (dubur), parut pembedahan Caeserean (pembedahan ketika bersalin) termasuk tempat terpencil seperti otak, saraf siatik, paru-paru dan kulit.

Apabila ada di luar rahim, tisu endometrium menjadi pertumbuhan menyakitkan. Ia akan berubah bersama perubahan hormon ketika pusingan haid. Ketika haid, tisu ini juga akan pecah dan berdarah.

Bezanya, lapisan endometrium dalam rahim akan tanggal dan dikeluarkan bersama cecair uterin (sebagai darah haid) tetapi pendarahan daripada endometriosis tidak mempunyai jalan keluar. Pengumpulannya menyebabkan tisu di kawasan ia melekat menjadi radang dan berparut.

Sebagai tindak balas terhadap keadaan tidak normal ini, badan menghasilkan tisu parut untuk melingkungi tempat berkenaan. Keadaan ini menyebabkan wanita mengalami kesakitan dan tekanan pada pelvik atau senggugut setiap kali haid. Mereka juga akan berasa sakit ketika mengadakan hubungan seks.

Punca endometriosis masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi saintis percaya ia disebabkan aliran haid retrograd atau menyongsang; iaitu darah haid mengalir masuk ke dalam tiub Fallopian. Sel endometrium dalam darah haid akan melekat di tempat tertentu dan mula mendatangkan masalah.

Dianggarkan 10 hingga 20 peratus wanita mengalami gejala endometriosis sewaktu dalam peringkat subur. Walaupun ia biasanya berlaku di kalangan wanita berumur antara 25 hingga 40 tahun, endometriosis boleh dialami wanita bermula dari kali pertama mendapat haid hinggalah menopaus, tidak kira sama ada mempunyai anak atau tidak.

Semua gejala endometriosis mungkin kekal, berkurang walaupun tanpa dirawat atau meningkat dengan tiba-tiba. Namun biasanya gejala ini berkurang ketika mengandung atau selepas menopaus.

Bagaimanapun, ada wanita mempunyai endometriosis tanpa mengalami gejala. Malah, tahap kesakitan dialami juga tidak boleh dijadikan pengukur saiz endometriosis kerana ada wanita berasa sangat sakit walaupun endometriosisnya kecil dan sebaliknya.

Senggugut tidak harus dianggap perkara biasa, sebaliknya perlu diberi perhatian serius, terutama jika anda mengalaminya sejak mula mendapat haid. Masalah ini boleh berlaku pada bila-bila masa dan wanita boleh mengesan perubahan haid mereka pada usia lewat 20-an dan 30-an.

Selain masalah kesihatan, endometriosis boleh mempengaruhi kesuburan seseorang. Ini kerana kehadiran pertumbuhan endometriosis dalam tiub Fallopian misalnya boleh menghalang laluan telur dari ovari ke uterus untuk bersenyawa dengan sperma. Keadaan ini menyebabkan seseorang wanita sukar mengandung.

Kehadiran endometriosis menyumbang 10 peratus kepada masalah kemandulan dan dianggarkan 30 hingga 40 peratus wanita yang mempunyai endometriosis mengalami kesukaran untuk hamil.

Bahkan tisu parut yang terbentuk sebagai tindak balas terhadap kerengsaan daripada endometriosis akan kekal dan mungkin boleh menyebabkan kesakitan, walaupun selepas wanita putus haid.

 - sumber : masalahwanita2u.blogspot.com -